Sunday, May 27, 2007

nostalgia p ramlee

Kegemilangan seorang seniman yang tiada gantinya hingga kini walaupun telah lama meninggalkan kita, namanya masih disebut-sebut dan hasil karya seninya tetap mengambil tempat di persada seni tanah air.

Beliau adalah wira perfileman Melayu iaitu seniman agung Tak Sri P Ramli. Filem-filemnya masih diputar di media elektronik dan tidak jemu mengulangi menonton bukan sahaja di kalangan generasi seangkatan malah kalangan remaja yang belum lahir pada tahun kematiannya turut menggemari filem-filemnya. Suaranya berkumandang di udara seolah-olah beliau masih berada bersama kita menyemarakkan persada seni. Bagi mengenang sumbangan dan jasa P Ramli terhadap sejarah seni tanah air Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah Perlis telah menganjurkan malam Nostalgia P Ramli.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah berkenan berangkat untuk menyaksikan persembahan berkenaan. Turut sama berangkat Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda dan Puan Muda Kedah, Menteri Besar kedah YAB Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain dan Datin Sri Sharifah Hamidah Syed Hamid.

Lain-lain dif kenamaan yang hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Kesenian YB Haji Osman Md Aji dan isteri Hajah Rokiah Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Paduka Ismail Tan Sri Shafie dan isteri Datin Paduka Tengku Malaysiah Tengku Mansor, Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Wira Mohd Omar Haji Mohamed dan isteri Datin Wira Fatimah Yahaya, Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Puteri Intan Safinaz serta Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Dato’ Habibah Zon.

Malam Nostalgia P Ramli dihiasi dengan lagu-lagu ciptaan P Ramli disampaikan oleh penyanyi-penyanyi yang pernah memenangi pertandingan lagu-Lagu P Ramli dan Saloma. Selain itu diselitkan dengan sedutan lakonan dari filem-filemnya yang hingga kini masih segar di hati peminat.

P Ramli adalah pengarah, pelakon penggubah lagu-lagu, penulis skrip dan lakon layar, mengendalikan setiap teknik pengeluaran filem seperti penggambaran dan penyuntingan. Sebagai seniman P Ramli berjaya menghidupkan semua watak sama ada dramatik, vilain dan komikal. Menerusi kreativiti beliau melahirkan filem-filem yang berasakan realiti masyarakat yang merupakan kunci kejayaannya. Sambil menghiburkan diserap unsur pendidikan menerusi mesej yang disampaikan.

Antara kejayaan yang dicapai pada tahun 1955 menerima anugerah Muzik Terbaik pada Pesta Filem Asia menerusi filem Hang Tuah. Dua tahun kemudian mendapat anugerah Pelakon Terbaik kerana membawa dua peranan dalam filem Anakku Sazali. Tahun berikutnya 1958 beliau memenangi anugerah Hitam Putih Terbaik menerusi filem Sumpah Orang Minyak.

Di Pesta Filem ke 6 dalam tahun 1959 beliau menang hadiah Komedi Terbaik melalui filem Pendekar Bujang Lapok dan tahun berikutnya 1960 mendapat hadiah Komedi Terbaik bagi filem Nujum Pak Belalang. Menerusi filem Ibu Mertuaku beliau menang anugerah Pelakon Paling Berbakat pada tahun 1963. Tahun berikutnya filemnya berjudul Madu Tiga muncul sebagai filem Komedi Terbaik.

P Ramli mendapat penghormatan Pingat Ahli Mangku Negara pada tahun 1962 dan pangkat Sergent Titular dari Pasukan Askar Melayu Diraja kerana berjaya memilemkan Sarjan Hassan. Pada tahun 1990 belia dikurniakan Pingat Panglima Setia Mahkota membawa gelaran Tan Sri.

No comments: